Friday, October 17, 2008

MENJUNJUNG KASIH , BERSEMADILAH KEKUSUTAN




Entah kenapa pagi Jumaat (20 Okt. 2008) saya dapat menarik nafas lega. Lega selega-leganya sehingga tidak dapat saya bayangkan dengan apa pun sandarannya.

Saya begitu bersemangat sekali, sehingga lupa untuk membawa bersama telefon bimbit sebelum keluar rumah. Seperti biasa, sebelum berjalan menuju ke stesen komuter, saya akan meninjau-ninjau sekitar halaman rumah. Memerhatikan pokok bunga, persekitaran taman dan anak-anak di jalanan menunggu bas sekolah tiba.

Disebabkan akhbar sudahpun dicampakkan sejak jam 6 pagi, saya telah membacanya seimbas lalu berita-berita penting. Tetapi yang lebih memberikan saya kelegaan ialah peringatan yang dikeluarkan oleh Raja-raja Melayu agar tidak lagi mempersoalkan kontrak sosial dan mencabar persetujuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Saya yang lahir, membesar, bersekolah dan ingin mati di Malaysia ini terasa amat berbahagia sekali. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia, tetapi kadangkala terkilan apabila ada yang membenci negara sendiri. Mengutuk dan mencaci setiap inci yang ada sehingga terlupa bahawa negara inilah telah memberikan mereka rezeki dan kehidupan yang dinikmati itu.

Saya sangat sayangkan negara ini kerana itulah tidak berminat untuk berhijrah. Meskipun ada kawan-kawan telah berhijrah kerana menganggap kehidupan mereka di negara sendiri tidak ubah seperti berada dalam kandang harimau sarkas.

Tiga hari lalu saya menerima berita, rakan sekelas semasa sama-sama belajar di universiti, pernah bertelagah mengenai sistem politik bersandarkan demokrasi berparlimen, sistem politik naungan dan sebagainya mengirimkan e-mail.

Sejak kami mula meninggalkan universiti lebih 25 tahun lalu, seingat saya inilah kali kedua ,beliau mengirimkan berita. Kali pertama ialah ketika beliau mula berhijrah, pada mulanya berhasrat menyambungkan pendidikan sarjana di United Kingdom pada tahun 1985.

Alasan sebenar ialah kerana takut melihat kepada keadaan politik dalam negara. Orang-orang Melayu mula mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu apabila pemimpin politik mendedahkan keburukan dan kuasa imuniti.

Krisis Perlembagaan menjadi memuncak apabila terdapat sekeping nota yang ditulis oleh Prebet Adam. Beliau mula memberontak bagi membela seseorang dengan membuat kecuh di sekitar Kanpong Baru.

Tun Dr. Mahathir membawa usul untuk meminda perkenaan Yang di Pertuan Agong mengenai sesuatu pindaan undang-undang. Jika dalam tempoh tertentu, sesuatu pindaan yang diluluskan tidak mendapat perkenaan (tandatangan), ia akan dianggap telah diperstujui dan boleh dikuatkuasakan.

Banyak pihak menganggap ia satu perubahan tetapi segelintir mula mempersoalkan kewajarannya. Kedudukan Tun Dr. Mahathir sedikit terancam, namun atas hubungan rapat beberapa orang veteran UMNO ia dapat ditenteramkan. Bagi meyakinkan rakyat, Menteri Penerangan ketika itu, Adib Adam membongkar cerita yang terdapat dalam Sejarah Melayu.

Malam tadi aku begitu teliti kandungan e-mail, rakan itu mula menilai bahawa Malaysia adalah destinasi pilihannya dan berhajat untuk kembali bersama-sama keluarga. Mungkin anak-anak tidak ikut sama, tapi yang pasti ialah isterinya yang berketurunan Jepun. Dia mula member penghargaan kepada negara sendiri.

Saya berfikir mungkin kerana usianya sudah menyamai usia Malaysia, maka penilaian baru itu adalah satu penilaian yang matang. Mungkin kerana sekian lama berkelana mula terasa rimas dan lemas dengan suasana di tempat yang dianggap bebas tetapi sebenarnya penuh prasangka dan helah.

Selesai menjawab, saya berada di depan TV. Saya seolah-olah terkedu apabila mendengar berita memetik kenyataan akhbar khas Majlis Raja-raja Melayu meminta semua rakyat tidak lagi mempersoalkan kontrak sosial. Saya memberikan reaksi spontan, kenyatan tersebut amatlah mustahak kerana akhir-akhir ini terlalu banyak pihak menghangatkan kembali isu perkauman ekoran pesona politik semakin pudar.

HINDRAF dengan jelasnya merupakan pertubuhan haram, namun tidak bermakna perjuangan yang dirintis akan terus berkubur walaupun Sammy Vellu menegaskan hanya MIC mampu memperjuangkan nasib kaum India. Namun tidak kedengaran daripada Gerakan, MCA bahawa parti-parti merekalah yang merupakan saluran terbaik memperjuangkan orang Cina.

Banyak pihak melihat, baik MCA, Gerakan ataupun DAP perjuangan mereka adalah untuk kepentingan kaum Cina. Meskipun Gerakan menegaskan ia adalah parti pelbagai kaum, kepimpin tertinggi menjadi monopoli kaum Cina apatah lagi MCA yang sememangnya 100 % adalah Cina. DAP dilihat lebih terbuka, tetapi banyak perjuangan mereka adalah untuk kepentingan bukan Melayu (terutamanya Cina dan India yang tidak menyokong MIC).

Peringatan Majlis Raja-raja itu dianggap tepat pada masanya apabila dikeluarkan sebagai amaran untuk membangkitkan lagi soal-soal yang boleh menyentuh hubungan kaum. Ini kerana paling panas lagi ialah pandangan Ketua Pergerakan Wanita Gerakan yang melontarkan orang Melayu sebagai pendatang Sumatera. Ramai pihak tersinggung tetapi tidaklah meledak sebagaimana Gerakan tersinggung apabila bekas ketua UMNO Bukit Bendera memberikan pendapat berasaskan fakta sejarah, orang Cina adalah pendatang.

Kemarahan Gerakan menyebabkan pemimpin tertinggi UMNO memohon maaf tetapi keceluparan Ketua Wanita Gerakan tidak sedikit pun menunjukkan rasa bersalah. Presiden Gerakan terus membuat kenyataan “no intention to insult the Malays. “ dan sekali lagi menyalahkan laporan akhbar.

Semasa PR Kecil Pematang Pauh, Ketua Wanita Gerakan juga menyalahkan kahbar tersilap membuat laporan. Apabila Datuk Ahmad Ismail mempertikaikan laporan Sin Chew, tidak pula Gerakan mengambil tindakan pembetulan seperti mana dilakukan terhadap kenyataan mengenai orang Melayu.

Ironinya kita, tidak kedengaran pemimpin-pemimpin UMNO yang sedang berusaha mendapatak kouta pencalonan mengeluarkan kenyataan balas. Nampaknya orang Melayu, terutamanya di kalangan pemimpin politik kurang terkesan dengan kenyataan tersebut berbanding dengan perebutan jawatan.

Ingatan Majlis Raja-raja seharusnya menjadi julap bagi semua rakyat Malaysia supaya tidak lagi mempersoalkan kontrak sosial, apalagi menyemak semula atau mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini.

Setiap sesuatu yang kita miliki tentunya diperoleh melalui pengorbanan dan kepayahan para pemimpin kita terdahulu. Kita seharusnya mengingati kembali bagaimana sukarnya untuk hidup pada suatu ketika dahulu, bukan sahaja ditakuti oleh hantu jelmaan malah bergerak ke sesuatu tempat terasa perit sekali.

Orang Melayu takut memasuki perkampungan Cina tetapi orang Cina tidak pernah takut tinggal bersama-sama masyarakat Melayu. Keramahtamahan orang Melayu akhirnya dipersoalkan sehingga menyebabkan sebahagian daripada orang Melayu amat membenci kaum-kaum lain.

Peristiwa 13 Mei telah memberikan sedikit pengajaran, pergeseran antara kaum boleh menyebabkan apa yang kita ada boleh musnah dalam masa yang singkat. Semangat kerjasama sama yang dipupuk semasa merundingkan kemerdekaan menjadi longgar dan tercabar selepas DAP dan Gerakan meraikan kemenangan pilihanraya 1969 dengan ghairahnya. Mujurlah kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya lalu tidak mengulangi sejarah 40 tahun lalu.

Meskipun tidak berlaku pertumpahan darah, bibit-bibit kebencian terhadap pilihan majoriti mula mengasak panjang sehingga sekarang masih belum selesai. Dalam tempoh reda ini, suara-suara sumbang masih kedengaran sehingga ada pihak mengalihkan pandangan kepada perkara lain.

Kegagalan membentuk kerajaan baru oleh pembangkang, pembongkaran pembohongan misi memburu ahli parlimen BN, sandiwara lapok menolak bajet 2009 tetapi berbahas sehingga lebih 5 jam, pencerobohan Hindraf dalam majlis terbuka aidilfitri dan pemilihan pucuk pimpinan MCA dan UMNO menjadi rencah paling laris di rumah-rumah terbuka anjuran kenalan, sahabat handai dan sebagainya.

Ingatan Raja-raja Melayu jelas dan tegas kerana “mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakah pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlemgaan Persekutuan telah menimbulkan keguasaran dan kersesahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan mengunjurkan forum-forum berkenaan.

Sebab-sebab yang dikenalpasti sebagai puncanya ialah kedangkalan pengetahuan mengenai latar belakang sejarah maka adalah bertepatan sekali apabila Perdana Menteri mencadangkan ia diajar di sekolah-sekolah rendah. Inilah hakikatnya kerana sebahagian daripada bijak pandai kita dahulu tersilap membuat pertimbangan, melupakan mata pelajaran sejarah.

Saya teringat sewaktu di sekolah rendah dahulu kita diajarkan dengan tokoh-tokoh sejarah dalam peradaban barat. Maka kita mengenali siapakah Nepoleon Bonarparte, James Watt, Iskandar Dzulkarnain, James Stephenson, King Henry, dan Charles Wright bersaudara tetapi tidak kenal Tok Janggut, Maharajalela ataupun Dato’ Onn Jaafar.

Hanyalah apabila berada di sekolah menengah mula diperkenalkan sedikit demi sedikit, tetapi hari ini mata pelajaran sejarah sudah boleh dibuat pilihan. Tidak perlu belajar kerana tidak meminatinya dan mata pelajaran pilihan untuk peperiksaan.Inilah punca menyebabkan ada pihak menganggap ramai di antara kita “buta sejarah”.

Saya pernah menghadapi tentangan apabila berdepan dengan beberapa orang pelajar pendidikan tinggi. Mereka mempersoalkan betapa tidak wajarnya pemimpin dahulu membuat keputusan, maka untuk tidak melontarkan kesalahan kepada kesalahan kita pada masa akan datang, kini merupakan masa yang sesuai untuk kita sama-sama memperbetulkan kesilapan.

Setiap warganegara Malaysia harus bertekad, tidak lagi mempersoalkan apa yang telah dipersetujui tetapi seharusnya berganding bahu bersama menghadapi cabaran dan persaingan baru yang sedang menunggu. Kita perlu menyusun langkah menghadapi belenggu kelembapan ekonomi yang sudahpun melanda Amerika Syarikat dan Singapura mula diserang kencing tak puas.

Sindrom kambing hitam dan psikologi menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri perlu disingkirkan. Mula perspektif baru yang lebih segar dengan mengambilkira perimbangan sejarah, pengajaran silam untuk memulakan langkah dan bukannya meluaskan siri pembohongan dan propaganda murah.

Barangkali kita mungkin boleh merungkaikan jawapan yang tepat jika kita sama-sama menumpukan perhatian, tenaga dan fikiran menyelesaikan kekusutan yang membelenggu pemikiran kita. Kita jangan terjeremus, kerana sesekali kita terjerumus, kesakitannya adalah perit sekali. Jangan berlagak bagaikan Pak Kaduk kehilangan ayam sabungnya, menang sorak kampong tergadai.

Ingatlah, jika kita sayangkan negara, menghormati Perlembagaan dan cintakan keaman, seharusnya menjunjung kasih di atas kepekaan dan keperihatinan Raja-raja Melayu mengingatkan kita. Kemusnahan boleh berlaku dalam sekelip mata, tetapi proses penyumbuhannya bertahun lamanya. Semadikanlah kekusutan itu, biar menjadi nisan sejarah yang boleh diambil ikhtibar oleh seluruh warganegara yang cinta dan sayangkan negara bertuah ini.



1 comment:

Awang Kata said...

Pihak kerajaan patut ambil perhatian peringatan raja baru-baru. Antaranya isu bahasa Melayu yang sering diambil mudah dan tidak diberikan perhatian dalam pemartabatannya. Isu PPSMI patutnya dikembalikan semula dalam bahasa Melayu.Tidak perlu menuding jari ke mana-mana pihak atas kesilapan yang dilakukan selama ini. Kembalikan hak bahasa Melayu ke tempatnya sebagai bahasa kebangsaan dalam semua aspek, hingga kepada label produk barangan pengguna pun sepatutnya disyaratkan berbahasa Melayu.