Semangat aidilfitri masih terasa dan masih ramai lagi menganjurkan rumah terbuka. Walaupun sudah lebih dua minggu kita merayakannya, hujung minggu menjadi pilihan ramai untuk menganjurkannya.
Tahun ini rumah terbuka menjadi lebih meriah berbanding hidangan ketupat, lemang dan sate. Oleh kerana tiga parti komponen BN sibuk mengadakan mesyuarat dan pemilihan, topic perbualan banyak berkisar mengenai politik. Minggu lepas kita dihangatkan dengan kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Gerakan yang menganggap orang Melayu sebagai pendatang dari Sumatera.
Meskipun Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menafika bahawa Datuk Tan Lian Hoe tidak menyentuh perkara itu, sebahagian besar orang Melayu mempersoalkan keculaparannya itu. Orang Melayu mempersoalkan kenapa apabila pemimpin Melayu mengungkapkan tentang asal-usul orang Cina, pemimpin atasan UMNO memohon maaf dan mengambil tindakan terhadap Datuk Ahmad Ismail.
Tetapi, apabila Datuk Tan Lian Hoe membuat kenyataan tidak ada seorang pun pemimpin Gerakan cuba memohon maaf. Sebaliknya, Presdien yang menang tanpa bertanding mempertahankan tindakan itu dengan memberikan alasan, Datuk Tan tidak pun menyentuhnya. Oleh kerana itu tindakan tidak perlu diambil.
Kita mendapat khabar gembira, sekurang-kurangnya ruang berfikir kita tidaklah menjadi sesak apabila Tun Dr. Mahathir menafikan penglibatannya sehingga menyebabkan Datuk Seri Najib dipilih sebagai Perdana Menteri pada bulan Mac 2009.
Sebelum ini terdengar khabar bahawa Tun Dr. Mahathir terlibat dalam memprojekkan pemilihan Najib dan Muhyidin sebagai menduduki dua jawatan penting dalam UMNO. Banyak pihak menganggap kedua pemimpin ini akan meneruskan apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir dan apabila memimpin negara akan mendengar nasihat beliau.
Konsep Mahathirism mula kedengaran kembali apabila Datuk Zaid Ibrahim membayangkan kemenangan bakal berpihak kepada Datuk seri Najib dan Tan Sri Muhyudin dalam
pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada bulan Mac nanti. Bayangan itu dinyatakan sebaik sahaja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan tarikh peralihan kuasa yang baru dan tidak berhasrat mempertahankan jawatan Presiden UMNO.
Konsep Mahathirism mula diperkenalkan secara akademiknya oleh Khoo Boon Teik .
Boon Teik menulis sebuah buku yang membincangkan proses politik dan pentadbiran Tun Dr. Mahathir sebagai Mahathirism pada tahun 1995. Buku the paradox of Mahathirism telah mengalami beberapa kali cetakan ulangan dan menjadi rujukan penting pengkaji politik Malaysia.
Diselang seli dengan rendang ayam dan lemang, fikiran saya kembali mengingati sedikit sebanyak perbincangan dalam buku tersebut dan membayangkan apakah mahathirism itu merupakan sesuatu perlu kita elakkan. Apakah kita berhasrat untuk menolak apa sahaja yang telah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir semasa pentadbirannya sehingga ia menjadi sesuatu yang mual dan jijik?
Bagi saya, tidak merupakan sesuatu yang salah jika kebaikan dan keampuhan dasar yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir mahu diteruskan oleh Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyudin. Ini kerana dalam suasana kedinamikan hidup dan mengisi kemerdekaan negara, kita kadangkala cuba mendapatkan pandangan dan idea daripada orang lain.
Semasa pentadbirannya, Tun Dr. Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur bagi meniupkan semangat kerja orang-orang Jepun dan Korea membangunkan negara mereka. Walaupun dasar tersebut ada kelemahannya, sekurang-kurangnya semangat kerja bersungguh-sungguh, setia kepada organisasi dan mementingkan kualiti telah berjaya menjadikan Malaysia maju. Malah, negara-negara yang pernah berkata sinis sebagai pro-Jepun dan anti-Barat, mula mengintai peluang dan meniru resepi kejayaan Malaysia.
Ketika Amerika Syarikat semakin gawat sektor perbankannya, George W. Bush berhempas pulas memikirkan kaedah mengatasi kelembaban ekonomi, Paul Hansen mengemukakan pelan pemulihan sebanyak USD 700 billion untuk ‘membeli” institusi kewangan yang bermasalah.
Menyusul kemudiannya ialah Britain, Jerman, Jepun dan beberapa buah negara mambangun yang lain. Kumpulan negara-negara G7 mula gusar dengan kesan krisis kewangan yang dihadapi oleh Amerika Syarikat disebabkan oleh krisis subprimanya tahun lalu.
Amerika Syarikat yang pernah menyelar tindakan Malaysia (ketika Tun Dr. Mahathir) menangani krisis kewangan pada tahun 1998. Antara yang dipertikaikan ialah menambatkan mata wang ringgit, menarik balik nilai matawang bernilai RM 500 dan RM 1000 dalam pasaran, menurunkan kadar faedah, membelanjakan wang negara untuk meransang pertumbuhan ekonomi, memberikan bonus kepada kakitangan awam dan mengambilalih beberapa projek penswataan .
Langkah tersebut mula dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dengan berusaha menyuntik wang dalam AIG, Firma Merryl and Lynch setelah Lehman diisytiharkan muflis. Hutang yang berbayar diambilalih oleh sebuah badan yang hampir menyamai Danaharta. Penubuhan badan tersebut hampir menyerupai Danaharta.
Pelan pemulihan yang lebih berbentuk memindahkan kuasa pasaran kepada kawalan kerajaan dianggap sebagai pengganas ekonomi, economic terrorism. Kini Amerika Syarikat, Britain mengamalkan istilah yang dicipta oleh mereka sendiri sebagai “government guarantee “ atau “nationalization.” Dulu dikecam, tapi kini menjadi pilihan utama untuk tidak lagi terlalu bergantung kepada kuasa pasaran.
Kuasa pasaran telah meusnahkan ekonomi Amerika Syarikat. Beberapa tahun lalu, Amerika Syarikat amat berbangga dengan kuasa pasaran untuk menentukan pertumbuhan ekonomi kerana melalui campurtangan kerajaan, ia akan menjejaskan perkembangan. Pasaran tidak perlu dikawal, dan kerana tiada kawalan itulah menyebabkan kuasa pasaran banyak bergantung kepada kedudukan spekulasi.
Bermula dengan spekulasi kekurangan bahan makanan, atas alasan perubahan iklim, peperangan, malapetaka, Amerika berselindung di sebalik keghairahannya untuk tidak bergantung kepada minyak. Sebanyak 30 peratus bijirin digunakan oleh dijadikan biofuel, menyebabkan kenaikan harga bijirin.
Amerika Syarikat mengurangkan eksport jagung dan sebaliknya menggalakkan rakyatnya menggantikan beras. Beras dibeli dengan banyaknya sehingga menyebabkan beberapa negara pengeluar mengurang dan menangguhkan eksport bagi membolehkan bekalan dalam negara mencukupi.
Minyak juga mengalami spekulasi yang besar pada awal tahun 2008. Harga terus melambung hingga mencapai tahap USD 145 setong berbanding pada akhir tahun 2007 berada dalam lingkungan USD 75 atau USD 80.
Tekanan ke atas negara-negara pengeluar supaya mengeluarkan lebih banyak, dilihat tidak banyak membantu kerana minyak terus dijadikan spekulasi dalam pasaran hadapan. Pernah dijangkakan akan meningkat ke tahap USD 200 setong, mujurlah tidak berlaku.
Jika ia berlaku tentunya Anwar Ibrahim akan menjadi bertambah galak membuat tuduhan liar dan pembohongan “mempunyai kuasa ajaib” menanganganinya. Anwar kini bermain sandiwara lagi apabila menolak Bajet 2009 tetapi membahaskannya sehingg mengambil masa hampir lima jam.
Kini mungkin ada pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk menjual konsep mahathirism bagi menghakis keyakinan anggota UMNO dalam pemilihan jawatan tertinggi. Dengan melabelkan Najib dan Muhyudin sebagai “orang Mahathir”, dan apabila berkuasa akan melantik Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat atau Menteri Mentor. Orang itu mungkin ingin meniru kaedah yang dilaksanakan oleh Singapura, melantik Lee Kuan Yew sebagai Menteri Mentor selepas melepaskan jawatan dalam kabinet.
Jawapan Dr. Mahathir meredakan keadaan dan tentunya, ada strategi lain akan digunakan bagi menjejaskan sokongan terhadap Najib dan Muhyudin. Mungkin itu merupakan strategi propaganda pembangkang ataupun pihak-pihak lain yang sedang melobi untuk mendapatkan jumlah pencalonan yang cukup. Tanpa cukup kouta, hasrat menggunung untuk bertanding akan kecundang sebelum bertempur.
Psikologi kambing hitam itu bukanlah baru dalam politik Malaysia. Ia adalah sesuatu yang lazim dan seringkali menjadi bahan perencah yang sedap untuk didengar. Mungkin kerana Tun Dr. Mahathir telah keluar dari UMNO dan ada riak-riak kecil untuk kembali, menyebabkan mereka mula merasakan kedudukannya terancam.
Berselindung di sebalik teori dan fakta, mereka merekakan teknik propaganda baru. Bila bercakap mengenai teknik propaganda, kita secara langusngnya akan membayangkan Hitler. Walaupun ramai pihak mengutuknya sebagai dictator yang kejam, tetapi teknik yang dilakukan masih ditiru. Tidakkah ini boleh kita namakan Hilterism, yang sepatutnya kita jarakkan daripada pemikiran kita di atas sifat marah dan kebencian terhadap Hitler.
Walaupun tidak semua yang diambil oleh Dr. Mahathir berjaya, namun sekurang-kurangnya keberanian beliau menangani krisis patut kita sanjung. Prinsip dan kegigihannya memulihkan ekonomi, patut kita pelajari dan perbaiki bagi menghadapi krisis ekonomi yang sedang dan bakal kita hadapi ini.
Bagaimana jika Dr. Mahathir tidak tegas untuk melaksanakan ransangan ekonomi pada tahun 1998 boleh menyingkatkan tempoh pemulihan? Apakah kerana memikirkan beberapa kesilapan kecil kita sanggup membakar kelambu?
Mungkin kerana anggapan serong itu maka sanggup melupakan gagasan Dr. Mahathir terhadap Wawasan 2020 yang sedang kita jejaki sekarang? Mengambil sesuatu pengajaran silam, menokoh tambah dan mempekemaskannya bukanlah sesuatu yang jijik dan mual.
Tidak salah jika kita terus memperbaiki konsep mahathirism menjadi neomahathirism atau apa pun kerana dalam peradaban manusia ada istilah klasik, neoklasik, moden, post modernism, dan sebagainya. Dalam ekonomi ada keynism, dalam politik ada Orwellian dan sebagainya. Ia adalah istilah yang digunakan sebagai penambahbaikan terhadap konsep awal yang dikemukakan.
Ia adalah langkah menghargai sumbangan orang lain dalam memenuhi tuntutan hidup. Jika kita menolaknya secara total dan membuat tuduhan secara terburu-buru mungkin ia akan menerima nasib yang sama seperti legenda Singapura dilanggar todak. Tidakkah kita sedar bahawa sejarah peradaban manusia mempunyai perulangan sejarah, yang berbeza ialah mauduk penyelesaiannya, selaras dengan perkembangan dan dinamika masyarakat.
Tidak mudah untuk kita melupakan Mahathirisme kerana ia adalah sebahagian daripada kejayaan kita. Ia adalah negarawan yang memberikan rentak baru politik dan pembangunan negara yang lebih pantas, cergas dan mampu menghadapi persaingan supaya tidak lagi tertinggal oleh kerana bebalisma pemikiran dan belenggu psikologi rendah diri.
Dr. Emkei Nizam
17 Oktober 2008.
The King, his family and U
-
*Or … “Who needs to be a crony when you can be a Royal Crony Pt 2”*
Damansara, 6/12: Ten years ago, this blog published the article *Who needs
to be a cron...
2 weeks ago
No comments:
Post a Comment