Monday, June 22, 2009

Nik Aziz vs Nasharuddin, Kerajaan Perpaduan

SIKAP Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta supaya Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan dalam parti dan Ahli Parlimen Bacok jika ingin meneruskan hasrat membentuk kerajaan perpaduan. Keputusan Nik Aziz ini dilihat sebagai keputusan peribadi dan keterlaluan kerana yang berhak memaksa Nasharudin meletakkan jawatan ialah keputusan parti.

Nik Aziz yang terkenal dengan sikap yang tidak pernah konsisten dalam membuat sesuatu keputusan nampaknya sedang mengundang api perpecahan di kalangan golongan muda dalam PAS. Kebanyakan mereka yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan ialah golongan muda, termasuk Ketua Pemuda PAS sendiri.

Haji Hadi selaku Presiden PAS mungkin mempunyai rasionalnya maka beliau berhasrat untuk meneruskan kerajaan perpaduan meskipun dipaksa menolaknya beberapa bulan lepas. Setidak-tidaknya, setelah gagal pusingan pertama berdasarkan cadangannya dalam Muktamar PAS di Ipoh Perak tahun lalu, tahun ini beliau membangkitkan kembali.

Keperluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan, dalam pusingan pertama bulan Mac dan April lalu telah menampakkan ada tanda-tanda bakal terlaksana apabila Nik Aziz sendiri membuat kenyataan melalui blog anaknya, Nik Abduh “ Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.


“Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama”, tambah beliau.

Ini membuktikan jika BN sanggup mengorbankan beberapa jawatan atau kementerian penting, Nik Aziz sanggup menerima pembentukan kerajaan perpaduan bagi memenuhi tuntutan kepentingan rakyat dan negara. Tapi nada itu kemudiannya menjadi terlalu sombong dan bongkak apabila mahu menyingkirkan Timbalan Presiden Pas kerana ingi meneruskan perundingan mengenai kerajaan perpaduan.

Golongan muda dalam PAS melihat Mursyidul Am itu sebenarnya sedang bersandiwara dengan dirinya sendiri apabila sudah ada pihak di dalam PAS sendrii yang tidak mahu mendengar nasihatnya. Beliau pernah menegaskan bahawa beliaulah nakhoda yang bertanggungjawab menentukan pelayaran politik PAS dan nasihatnya mestilah didengar.

Jika dilihat dari perspektif politik PAS sendiri perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang boleh meremangkan bulu roma sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan terutama dalam sebuah siasah yang berteraskan Islam. Perbezaan pendapat itu bukanlah mengenai perkara wajib, ia masih merupakan hal-hal yang boleh dianggap sunat kerana tanpa kerajaan perpaduan dengan BN pun, PAS diakui mempunyai kekuatannya sendiri di Kelantan.



UMNO tidak akan dapat menawan Kelantan dengan mudah, kerana PAS telah lama mengusahakan pelbagai kaedah bukan sahaja bagi mengekalkan kedudukannya, malah mengalahkan UMNO secara total. Cuma mungkin di beberapa tempat, PAS tidak dapat melebarkan sayap pengaruhnya terutamanya bagi menguasai parlimen Gua Musang ataupun Jeli. Lain-lain kawasan, termasuk bagi merebut kerusi DUN N 41 Manek Urai pada pertengahan Julai nanti, ramai pihak menjangkakan PAS akan menang.

Berdasarkan sejarah pilihan raya sejak tahun 1959, PAS menang 8 kali manakala BN hanya menang sebanyak tiga kali iaitu 1978, 1982 dan 2004. Kawasan Manek Urai mempunyai jumlah pengundi seramai 12,293 dan 47.09 peratus adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Ada juga pihak melihat bahawa sikap Nik Aziz itu merupakan satu keputusan terdesak bagi mempertahankan kumpulan penyokong kuatnya yang tidak mahukan kerjasama dengan BN. Golongan ini melihat bahawa melalui kerjasama dengan UMNO khususnya, seolah membuka kembali luka lama yang pernah turut beliau rasai apabila bergabung dengan BN pada tahun 1974.
Kumpulan yang masih lagi merasakan keburukan hubungan antara PAS dan UMNO dalam BN hanya tinggal beberapa orang sahaja, termasuk Nik Aziz sendiri. Nik Aziz merasakan semasa berada dalam BN dahulu, PAS hanya diberikan jawatan sebagai menteri yang tidak banyak membawa faedah kepada rakyat Kelantan. Walaupun PAS ketika itu seakan ‘lemas” apabila parti Berjasa pimpinan Datuk Haji Mohd Nasir diberikan jawatan sebagai Menteri Besar.


Walaupun Berjasa mentadbir Kelantan, kedudukan menteri besar itu dikatakan amat tertakluk dengan telunjuk UMNO, iaitu kekuasaan yang dimainkan oleh Tan Sri Hussein Ahmad, Timbalan Menteri Besar, yang mempunyai hubungan rapat dengan istana ketika itu. Menteri Besar dianggap sebagai “boneka UMNO” dan jika kerajaan perpaduan ingin diteruskan juga, maka penerajunya itu sudah pun dicapkan sebagai “boneka UMNO” oleh Nik Aziz.

Mungkin suasana dan iklim politik yang pernah mewarnai kerjasama dalam BN dahulu menjadi punca dendam Nik Aziz untuk terus menolak dan menghalang sesiapa pun yang ingin meneruskan pembentukan kerajaan perpaduan. Jika itulah alasan yang boleh kita terima, bermakna Mursyidul Am Pas itu merupakan seorang pendendam dan tidak boleh memaafkan sesiapa pun yang pernah melakukan kesalahan.

Reaksi sebahagian pemerhati politik, terutama anak-anak Kelantan yang berada di perantuan melihat sikap Nik Aziz itu sepatutnya dielakkan kerana beliau merupakan seorang tokoh agama yang disegani. Seharusnya beliau mengeluarkan kenyataan yang lebih berhemah kerana pembentukan kerajaan perpaduan itu adalah untuk kembali memperkuatkan kedudukan Islam.
Nik Aziz harus sedar bahawa untuk memperkuatkan kedudukan Islam, ia mestilah bermula dengan memperkasakan kedudukan Melayu. Secara absahnya, Melayu itu Islam, maka untuk memperkukuhkan kedudukan Islam yang sedang menerima tekanan dan cabaran masa kini, haruslah bermula dengan usaha memperkukuhkan kedudukan orang Melayu. Beliau yang pernah mengatakan ia, jika kerajaan perpaduan itu bertujuan untuk memperkukuhkan ketuanan Islam, maka harus menerima idea ini.


Perjuangan PAS yang pernah disinonimkan dengan Islam, walaupun pernah menuduh bahawa UMNO itu “taghut” suatu masa dahulu, nampaknya setelah bergabung dengan lain-lain parti pembangkang telah menukar arah. Arah yang ditujui sekarang ialah untuk mendapatkan kuasa, dan kerana itu pada suatu ketika dahulu pernah berangan-angan untuk “melelong Putrajaya” apabila berjaya memerintah Malaysia.

Tapi kini, sedang mengorak langkah membantu de facto Parti Keadilan Rakyat merintis jalan ke Putrajaya walaupun masih belum menampakkan kejayaannya. Idea menawan Putrajaya semakin kendur sekarang kerana part-parti komponen dalam pakatan pembangkang sedang menghadapi krisis dalaman, begitu juga antara PAS-DAP dan DAP-PKR.

Masyarakat dapat melihat tingkah laku sebahagian pemimpin besar mereka. Lagak dan gayanya kadangkala menyebabkan rakyat sebahagiannya mula membenci dan menjauhkan diri apabila gagal membawa sebarang pembaharuan dan perubahan dalam kawasan yang dikuasainya.

Meskipun kelantangan suara dan bantahan masih belum meluas, cakap-cakap mula kedengaran bahawa DAP di Pulau Pinang tidak menampakkan kesungguhan untuk menyelesaikan kemelut orang Melayu Pulau Pinang. PKR yang menjadi rakan kongsi yang kuat, tidak juga mempunyai perancangan konkrit bagaimana untuk mempertingkatkan ekonomi Melayu, sebaliknya hanya melebarkan sayap propaganda menuduh kepimpinan BN dengan pelbagai dakwaan.



Mungkin kerana perkembangan politik yang berlaku setahun selepas tsunami PRU ke-12 ini memberikan sedikit kesedaran kepada Presiden Pas untuk merintis jalan menjalinkan kerjasama bagi mewujudkan kerajaan perpaduan dengan BN. Hubungan kerjasama dalam parti komponen BN dilihat lebih konsisten dan berkesan berbanding dengan kerjasama dalam komponen pakatan pembangkang, terutamanya apabila menganalisis situasi politik Perak dan Selangor.

Semasa Perak diterajui oleh pakatan pembangkang, kedudukan PAS bak melukut di tepi gantang walaupun Datuk Seri Mohamad Nizar itu adalah wakil rakyat PAS. Nizar seakan terpaksa melutut atau memenuhi setiap tuntutan yang dibuat oleh wakil rakyat DAP sehingga sanggup meluluskan sejumlah tanah kepada komuniti Cina, meminda syarat pembangunan kawasan kediaman dan penjualan hartanah dan sebagainya. Orang Melayu melihat perubahan ini amat merugikan mereka kerana pembangunan perumahan lebih memfokuskan kepada perumahan mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

Di Pulau Pinang juga berlaku keadaan yang sama apabila pembinaan rumah mewah di pinggir laut yang bakal menjadi pintu keluar dari Pulau Pinang di South Bay, Batu Maung. Bentuk rumah mewah yang mahal menyebabkan orang Melayu bukan sahaja menggigit jari, tetapi terus berhijrah sama ada ke Sungai Petani atau pun Kulim. Pembangunan pesat kawasan industri di Kulim dan penutupan serta pengecilan operasi beberapa kilang di Pulau Pinang (Bayan Lepas dan Prai) menyebabkan lebih ramai tidak mempunyai pekerjaan dan diberhentikan (sama ada melalui penamatan secara sukarela ataupun berselindung di sebalik pekerja asing).




Sehingga kini, walaupun sudah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, Dr. Mansor Othman masih tidak kedengaran suara dan langkah-langkah strategiknya untuk membantu masyarakat Melayu Pulau Pinang. Walaupun Selangor memberikan tempat kepada wakil rakyat PAS dalam kepimpinan negeri, Datuk Hassan Ali hanyalah sekadar bayangan kerjasama. Beberapa kali dilihat masih menggunakan mimbar masjid membaca Khutbah Jumaat sehingga ada orang memikirkan apakah itu kerjanya seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dr. Hassan Ali juga tidak menampakkan satu perancangan yang konkrit untuk memperkasakan kedudukan Islam di Selangor, sebaliknya semacam merestui kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melonggarkan beberapa terma kepada bukan Melayu. Tan Sri Khalid pernah berkontroversi mencadangkan supaya bukan Bumiputera diberikan tempat di UiTM. Meskipun isu ini menerima bantahan dan sanggahan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, ia tetap menampakkan sikap sebenar beliau terhadap nasib orang Melayu, terutamanya di Selangor.

Mungkin isu tanah Pejabat Daerah Petaling Jaya masih lagi tersimpan kemas, mungkin suatu hari akan meledakkan cemuhan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu sebagaimana meledaknya isu perlantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) beberapa bulan lalu. Tanah itu diberitakan ditukarkan dengan membangunkan Kompleks Kerajaan di Paya Jaras, Sungai Buloh.




Kompleks tersebut sudah pun siap, tetapi yang menjadi persoalannya nilai tanah dan bangunan itu tidak setimpal. Harga tanah di Subang Jaya dan harga projek kompleks kerajaan di Paya Jaras tidak seimbang, lebih rendah dua kali ganda . Jika benar dakwaan tersebut, perjuangan parti-parti yang memerintah Selangor juga tidak menepati dengan manifesto mereka sepanjang kempen PRU ke-12 lalu.

Mungkin kerana pertimbangan-pertimbangan politik itu Haji Hadi mulai sedar, semakin lama berjuang dalam pakatan PKR-DAP-PAS itu akan menyebabkan keyakinan penyokong tegar mereka akan terhakis. Ahli-ahli PAS, terutamanya golongan muda tidak dapat melihat PAS sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan nasib dan kedudukan mereka, hanya mencaturkan adu-domba rakyat bagi mendapatkan kuasa agar terus di panggil Yang Berhormat.

Kalau benar Nik Aziz memperjuangkan Islam atas dasar perpaduan dan penyatuan Islam, maka tidak ada sebab untuk menolak kerajaan perpaduan. Pemimpin-pemimpin UMNO dan BN telah membuka ruang untuk berbincang, sudah menandakan bahawa terdapat kesediaan untuk berunding dan berkongsi kuasa. BN bersedia mengorbankan sebahagian daripada apa yang dimilikinya demi untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Nik Aziz perlulah ikhlas, janganlah mengharapkan orang lain sahaja menunjukkan keikhlasannya, sedangkan diri sendiri masih membawa dendam kesumat.