Monday, June 22, 2009

Nik Aziz vs Nasharuddin, Kerajaan Perpaduan

SIKAP Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta supaya Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan dalam parti dan Ahli Parlimen Bacok jika ingin meneruskan hasrat membentuk kerajaan perpaduan. Keputusan Nik Aziz ini dilihat sebagai keputusan peribadi dan keterlaluan kerana yang berhak memaksa Nasharudin meletakkan jawatan ialah keputusan parti.

Nik Aziz yang terkenal dengan sikap yang tidak pernah konsisten dalam membuat sesuatu keputusan nampaknya sedang mengundang api perpecahan di kalangan golongan muda dalam PAS. Kebanyakan mereka yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan ialah golongan muda, termasuk Ketua Pemuda PAS sendiri.

Haji Hadi selaku Presiden PAS mungkin mempunyai rasionalnya maka beliau berhasrat untuk meneruskan kerajaan perpaduan meskipun dipaksa menolaknya beberapa bulan lepas. Setidak-tidaknya, setelah gagal pusingan pertama berdasarkan cadangannya dalam Muktamar PAS di Ipoh Perak tahun lalu, tahun ini beliau membangkitkan kembali.

Keperluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan, dalam pusingan pertama bulan Mac dan April lalu telah menampakkan ada tanda-tanda bakal terlaksana apabila Nik Aziz sendiri membuat kenyataan melalui blog anaknya, Nik Abduh “ Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.


“Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama”, tambah beliau.

Ini membuktikan jika BN sanggup mengorbankan beberapa jawatan atau kementerian penting, Nik Aziz sanggup menerima pembentukan kerajaan perpaduan bagi memenuhi tuntutan kepentingan rakyat dan negara. Tapi nada itu kemudiannya menjadi terlalu sombong dan bongkak apabila mahu menyingkirkan Timbalan Presiden Pas kerana ingi meneruskan perundingan mengenai kerajaan perpaduan.

Golongan muda dalam PAS melihat Mursyidul Am itu sebenarnya sedang bersandiwara dengan dirinya sendiri apabila sudah ada pihak di dalam PAS sendrii yang tidak mahu mendengar nasihatnya. Beliau pernah menegaskan bahawa beliaulah nakhoda yang bertanggungjawab menentukan pelayaran politik PAS dan nasihatnya mestilah didengar.

Jika dilihat dari perspektif politik PAS sendiri perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang boleh meremangkan bulu roma sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan terutama dalam sebuah siasah yang berteraskan Islam. Perbezaan pendapat itu bukanlah mengenai perkara wajib, ia masih merupakan hal-hal yang boleh dianggap sunat kerana tanpa kerajaan perpaduan dengan BN pun, PAS diakui mempunyai kekuatannya sendiri di Kelantan.



UMNO tidak akan dapat menawan Kelantan dengan mudah, kerana PAS telah lama mengusahakan pelbagai kaedah bukan sahaja bagi mengekalkan kedudukannya, malah mengalahkan UMNO secara total. Cuma mungkin di beberapa tempat, PAS tidak dapat melebarkan sayap pengaruhnya terutamanya bagi menguasai parlimen Gua Musang ataupun Jeli. Lain-lain kawasan, termasuk bagi merebut kerusi DUN N 41 Manek Urai pada pertengahan Julai nanti, ramai pihak menjangkakan PAS akan menang.

Berdasarkan sejarah pilihan raya sejak tahun 1959, PAS menang 8 kali manakala BN hanya menang sebanyak tiga kali iaitu 1978, 1982 dan 2004. Kawasan Manek Urai mempunyai jumlah pengundi seramai 12,293 dan 47.09 peratus adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Ada juga pihak melihat bahawa sikap Nik Aziz itu merupakan satu keputusan terdesak bagi mempertahankan kumpulan penyokong kuatnya yang tidak mahukan kerjasama dengan BN. Golongan ini melihat bahawa melalui kerjasama dengan UMNO khususnya, seolah membuka kembali luka lama yang pernah turut beliau rasai apabila bergabung dengan BN pada tahun 1974.
Kumpulan yang masih lagi merasakan keburukan hubungan antara PAS dan UMNO dalam BN hanya tinggal beberapa orang sahaja, termasuk Nik Aziz sendiri. Nik Aziz merasakan semasa berada dalam BN dahulu, PAS hanya diberikan jawatan sebagai menteri yang tidak banyak membawa faedah kepada rakyat Kelantan. Walaupun PAS ketika itu seakan ‘lemas” apabila parti Berjasa pimpinan Datuk Haji Mohd Nasir diberikan jawatan sebagai Menteri Besar.


Walaupun Berjasa mentadbir Kelantan, kedudukan menteri besar itu dikatakan amat tertakluk dengan telunjuk UMNO, iaitu kekuasaan yang dimainkan oleh Tan Sri Hussein Ahmad, Timbalan Menteri Besar, yang mempunyai hubungan rapat dengan istana ketika itu. Menteri Besar dianggap sebagai “boneka UMNO” dan jika kerajaan perpaduan ingin diteruskan juga, maka penerajunya itu sudah pun dicapkan sebagai “boneka UMNO” oleh Nik Aziz.

Mungkin suasana dan iklim politik yang pernah mewarnai kerjasama dalam BN dahulu menjadi punca dendam Nik Aziz untuk terus menolak dan menghalang sesiapa pun yang ingin meneruskan pembentukan kerajaan perpaduan. Jika itulah alasan yang boleh kita terima, bermakna Mursyidul Am Pas itu merupakan seorang pendendam dan tidak boleh memaafkan sesiapa pun yang pernah melakukan kesalahan.

Reaksi sebahagian pemerhati politik, terutama anak-anak Kelantan yang berada di perantuan melihat sikap Nik Aziz itu sepatutnya dielakkan kerana beliau merupakan seorang tokoh agama yang disegani. Seharusnya beliau mengeluarkan kenyataan yang lebih berhemah kerana pembentukan kerajaan perpaduan itu adalah untuk kembali memperkuatkan kedudukan Islam.
Nik Aziz harus sedar bahawa untuk memperkuatkan kedudukan Islam, ia mestilah bermula dengan memperkasakan kedudukan Melayu. Secara absahnya, Melayu itu Islam, maka untuk memperkukuhkan kedudukan Islam yang sedang menerima tekanan dan cabaran masa kini, haruslah bermula dengan usaha memperkukuhkan kedudukan orang Melayu. Beliau yang pernah mengatakan ia, jika kerajaan perpaduan itu bertujuan untuk memperkukuhkan ketuanan Islam, maka harus menerima idea ini.


Perjuangan PAS yang pernah disinonimkan dengan Islam, walaupun pernah menuduh bahawa UMNO itu “taghut” suatu masa dahulu, nampaknya setelah bergabung dengan lain-lain parti pembangkang telah menukar arah. Arah yang ditujui sekarang ialah untuk mendapatkan kuasa, dan kerana itu pada suatu ketika dahulu pernah berangan-angan untuk “melelong Putrajaya” apabila berjaya memerintah Malaysia.

Tapi kini, sedang mengorak langkah membantu de facto Parti Keadilan Rakyat merintis jalan ke Putrajaya walaupun masih belum menampakkan kejayaannya. Idea menawan Putrajaya semakin kendur sekarang kerana part-parti komponen dalam pakatan pembangkang sedang menghadapi krisis dalaman, begitu juga antara PAS-DAP dan DAP-PKR.

Masyarakat dapat melihat tingkah laku sebahagian pemimpin besar mereka. Lagak dan gayanya kadangkala menyebabkan rakyat sebahagiannya mula membenci dan menjauhkan diri apabila gagal membawa sebarang pembaharuan dan perubahan dalam kawasan yang dikuasainya.

Meskipun kelantangan suara dan bantahan masih belum meluas, cakap-cakap mula kedengaran bahawa DAP di Pulau Pinang tidak menampakkan kesungguhan untuk menyelesaikan kemelut orang Melayu Pulau Pinang. PKR yang menjadi rakan kongsi yang kuat, tidak juga mempunyai perancangan konkrit bagaimana untuk mempertingkatkan ekonomi Melayu, sebaliknya hanya melebarkan sayap propaganda menuduh kepimpinan BN dengan pelbagai dakwaan.



Mungkin kerana perkembangan politik yang berlaku setahun selepas tsunami PRU ke-12 ini memberikan sedikit kesedaran kepada Presiden Pas untuk merintis jalan menjalinkan kerjasama bagi mewujudkan kerajaan perpaduan dengan BN. Hubungan kerjasama dalam parti komponen BN dilihat lebih konsisten dan berkesan berbanding dengan kerjasama dalam komponen pakatan pembangkang, terutamanya apabila menganalisis situasi politik Perak dan Selangor.

Semasa Perak diterajui oleh pakatan pembangkang, kedudukan PAS bak melukut di tepi gantang walaupun Datuk Seri Mohamad Nizar itu adalah wakil rakyat PAS. Nizar seakan terpaksa melutut atau memenuhi setiap tuntutan yang dibuat oleh wakil rakyat DAP sehingga sanggup meluluskan sejumlah tanah kepada komuniti Cina, meminda syarat pembangunan kawasan kediaman dan penjualan hartanah dan sebagainya. Orang Melayu melihat perubahan ini amat merugikan mereka kerana pembangunan perumahan lebih memfokuskan kepada perumahan mewah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

Di Pulau Pinang juga berlaku keadaan yang sama apabila pembinaan rumah mewah di pinggir laut yang bakal menjadi pintu keluar dari Pulau Pinang di South Bay, Batu Maung. Bentuk rumah mewah yang mahal menyebabkan orang Melayu bukan sahaja menggigit jari, tetapi terus berhijrah sama ada ke Sungai Petani atau pun Kulim. Pembangunan pesat kawasan industri di Kulim dan penutupan serta pengecilan operasi beberapa kilang di Pulau Pinang (Bayan Lepas dan Prai) menyebabkan lebih ramai tidak mempunyai pekerjaan dan diberhentikan (sama ada melalui penamatan secara sukarela ataupun berselindung di sebalik pekerja asing).




Sehingga kini, walaupun sudah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, Dr. Mansor Othman masih tidak kedengaran suara dan langkah-langkah strategiknya untuk membantu masyarakat Melayu Pulau Pinang. Walaupun Selangor memberikan tempat kepada wakil rakyat PAS dalam kepimpinan negeri, Datuk Hassan Ali hanyalah sekadar bayangan kerjasama. Beberapa kali dilihat masih menggunakan mimbar masjid membaca Khutbah Jumaat sehingga ada orang memikirkan apakah itu kerjanya seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dr. Hassan Ali juga tidak menampakkan satu perancangan yang konkrit untuk memperkasakan kedudukan Islam di Selangor, sebaliknya semacam merestui kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melonggarkan beberapa terma kepada bukan Melayu. Tan Sri Khalid pernah berkontroversi mencadangkan supaya bukan Bumiputera diberikan tempat di UiTM. Meskipun isu ini menerima bantahan dan sanggahan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, ia tetap menampakkan sikap sebenar beliau terhadap nasib orang Melayu, terutamanya di Selangor.

Mungkin isu tanah Pejabat Daerah Petaling Jaya masih lagi tersimpan kemas, mungkin suatu hari akan meledakkan cemuhan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu sebagaimana meledaknya isu perlantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) beberapa bulan lalu. Tanah itu diberitakan ditukarkan dengan membangunkan Kompleks Kerajaan di Paya Jaras, Sungai Buloh.




Kompleks tersebut sudah pun siap, tetapi yang menjadi persoalannya nilai tanah dan bangunan itu tidak setimpal. Harga tanah di Subang Jaya dan harga projek kompleks kerajaan di Paya Jaras tidak seimbang, lebih rendah dua kali ganda . Jika benar dakwaan tersebut, perjuangan parti-parti yang memerintah Selangor juga tidak menepati dengan manifesto mereka sepanjang kempen PRU ke-12 lalu.

Mungkin kerana pertimbangan-pertimbangan politik itu Haji Hadi mulai sedar, semakin lama berjuang dalam pakatan PKR-DAP-PAS itu akan menyebabkan keyakinan penyokong tegar mereka akan terhakis. Ahli-ahli PAS, terutamanya golongan muda tidak dapat melihat PAS sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan nasib dan kedudukan mereka, hanya mencaturkan adu-domba rakyat bagi mendapatkan kuasa agar terus di panggil Yang Berhormat.

Kalau benar Nik Aziz memperjuangkan Islam atas dasar perpaduan dan penyatuan Islam, maka tidak ada sebab untuk menolak kerajaan perpaduan. Pemimpin-pemimpin UMNO dan BN telah membuka ruang untuk berbincang, sudah menandakan bahawa terdapat kesediaan untuk berunding dan berkongsi kuasa. BN bersedia mengorbankan sebahagian daripada apa yang dimilikinya demi untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Nik Aziz perlulah ikhlas, janganlah mengharapkan orang lain sahaja menunjukkan keikhlasannya, sedangkan diri sendiri masih membawa dendam kesumat.

Wednesday, April 1, 2009

15:3:2 - NOMBOR REBUTAN PENJUDI TEGAR

DUN Bukit Selambau 15 orang calon, Parlimen Bukit Gantang 3 orang calon dan DUN Batang Air (Sarawak) dua orang calon, bila disebariskan akan menjadi 1532, satu nombor rebutan bagi penjudi tegar. Saya fikir mungkin akan menjadi nombor bestseller bagi cabutan hari selasa.

Tiba-tiba pagi Isnin ini saya terfikir demikian kerana semalam telah selesai hari penamaan calon bagi ketiga-ketiga kawasan yang menghadapi pilihan raya kecil serentak 7 April nanti. Terfikir juga jika, 1532 menjadi rebutan mungkin juga nombor yang disatukan dengan tarikh pengundian, 7409 turut menjadi rebutan. Atau juga gabungan 070409 dipecahkan menjadi 0704, atau 0409.

Di bawah pokok pisang sementara menunggu pekerja mengira pokok-pokok pisang yang perlu ditebang dalam sehari dua ini, saya mula berfikir akan kayalah penjudi tegar tatkala menghadapi pilihan raya kecil. Penjudi tegar akan terus mencari formula untuk melakukannya sehingga pantang bertemu angka akan dimanipulasikannya.
Setiap kali diadakan pilihan raya, bukan saja penjudi akan membuat congakan dan formula siapa yang akan menang merebut kerusi tersebut, malah pengendali judi haram turut membuat keputusan. Ini berlaku jika kawasan pertandingan itu merupakan kawasan rebutan sengit, dan peratusan pengundinya pelbagai kaum.

Antara tiga kawasan yang terbabit, DUN Bukit Selambau dijangka mendapat tarikan besar para penjudi tegar. Saya berfikir demikian, bukan sahaja pertaruhan antara BN dan PKR, malah penjudi turut membuat perkiran untuk bertaruh berapa ramai calon Bebas yang akan hilang deposit.
BN dan PKR dijangka tidak akan kehilangan deposit, bebas mungkin dua atau tiga calon, selebihnya akan kecundang akhirnya kerana tidak mempunyai keupayaan dan kemasukan mereka hanyalah atas desakan nafsu atau emosi semata-mata. Bagi calon Bebas berketurunan Cina mungkin dia mempunyai pertimbangan kuat untuk meraih sokongan daripada pengundi Cina yang berjumlah 7,376 pengundi.

Lapan orang calon berketerunan India (6 Bebas, 1BN dan 1 PKR) untuk meraih sokongan sejumlah 9,873 pengundi. Bayangkan jika dibahagikan sama rata dengan lapan, jumlahnya adalah 1234. Purata itumenjadi satu lagi angka yang bagus, yang mungkin turut menjadi rebutan penjudi tegar. 6 orang calon Melayu untuk meraih sokongan 17,614 dan secara puratanya mendapat 2935. Jadi secara mudahnya angka-angka yang akan menjadi rebutan sepanjang tempoh pilihan raya kecil kali ini ialah 1532, 0704,0407,0409,7409,1234,7376 dan 2935.

Dengan mengambil kira kecederungan pengundi keluar mengundi di DUN Bukit Selambau sekitar 70 peratus, kerana hari mengundi merupakan hari bekerja dan ramai pengundi merupakan pekerja industri atau kilang (terutamanya di sekitar taman-taman perumahan yang jumlahnya melebihi 12,000 orang), maka yang dijangka keluar ialah sekitar 24,600 orang. Mungkinkah ini akan menambahkan satu lagi nombor rebutan oleh penjudi tegar, iaitu 2570 (no DUN Bukit Selambau ialah N 25 manakala 70 ialah anggaran 70 peratus pengundi keluar mengundi).

Dari segi kempen nampaknya lebih panas di Bukit Gantang, kerana ia merupakan usaha PAS untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU ke-12 lalu, manakala Bukit Selambau lebih menampaknya kecelaruan parti-parti politik terutamanya pakatan pembangkang. Sebahagian besar calon bebas adalah daripada mereka yang kecewa dengan pucuk pimpinan PKR yang tidak mengendahkan kehendak pengundi tempatan.
PKR mahukan calonnya adalah anak tempatan, tetapi de facto PKR membuat keputusan mencalonkan seorang peniaga kereta sebagai calon. Peniaga tersebut bukanlah anak tempatan, tetapi cerita berkisar sekitar kerana budi badan tergadai, pucuk PKR merestuinya.

Calon tersebut banyak menabur budi memberikan kemudahan termasuk kereta kepada pemimpin PKR tempatan mungkin sebagai lobi untuk jadi calon atau sebagainya. Itu cerita yang minda petani dapat daripada kawan-kawaan dari Sungai Petani. Maklumlah kami kan asalnya keluarga petani, cuma mereka ada sungainya, saya hanyalah ada mindanya sahaja.

Walau apapun alasannya, saya anggap calon Melayu yang akan mendapat perhatian ialah Mejar (B) Anuar yang bertanding atas tiket bebas menggunakan simbol telefon. Ini kerana Mejar (B) Anuar mempunyai hubungan yang kuat dengan ahli UMNO, kerana pernah bergelumang sekian lama dengan pertubuhan tersebut. Cuma selepas PRU ke-12 ikut keluar parti kerana mengikut jejak langkah sifunya, Tun Dr. Mahathir. Beliau amat setia dengan Tun Dr. Mahathir.
Saya yang berada di kebun pisang turut menerima sms yang diforwardkan oleh kawan-kawan, pertama mengatakan Mejar (B) Anuar Abd. Hamid akan menarik diri dan kembali menyertai UMNO apabila Tun Dr. Mahathir berbuat demikian. Tun kelihatan hadir dalam majlis terakhir perhimpunan UMNO baru-baru ini dan menyatakan bersedia untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Pagi tadi saya menerima satu lagi isms menyatakan bahawa “Berita mengatakan saya menarik diri adalah palsu dan tidak benar. Sebagai seorang pegawai askar Melayu di Raja mengaku kalah sebelum peperangan dan meninggalkan medan perang tiada dalam diri saya. Tujuan saya bertanding ialah untuk 1) mempertahankan Perlembagaan Malaysia 2) mempertahankan agama dan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang jelas terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Matlamat saya ialah mengembalikan DUN Bukit Selambau kepada wakil rakyat Melayu. Salam Hormat Major Haji Anuar Abdul Hamid (Bersara)- Calon Bebas Simbol Telefon No.14.”

Besarnya harapan menggunungnya impian, apakah benar Mejar (B) Anuar mampu mempertahankan Perlembagaan Malaysia melalui kemenangannya sebagai calon bebas. Bebas jika menang pun tidak mampu melakukan apa-apa pun kerana tidak mempunyai kuasa, kecualilah kemenangannya nanti beliau sanggup beergabung dengan PKR atau BN. Jika denganPKR, beliau mungkin boleh menjadi barisan kepimpinan kerajaan negeri. Tetapi BN tetap pembangkang di negeri Kedah. Kemenangannya tidak mampu mengubah lanskap politik negeri Kedah apatah lagi mempertahankan Perlembagaan Malaysia.
BN telah lama mempertahankan Perlembagaan Malaysia. Malah BN lah telah meletakkan Perlembagaan Malaysia sebagai tunggak utama dasar pertadbiran Negara, bukannya Bebas atau PKR ataupun PAS. PKR telah mencabar Perlembagaan dengan pelbagai cara dan rentak, termasuk mempersendakan kuasa budi bicara Paduka Sultan Perak. Memutar belitkan fakta keesahan kerajaan BN kerana kehilangan kuasa memerintah di negeri Perak oleh kerana tidak memahami fakta “sokongan majoriti” dan “memohon sembah derhaka.”

Minda Petani terasa amat berbelit sekali perjuangan sebahagian besar calon-calon bebas di DUN Bukit Selambau. Minda Petani merasakan perjuangan mereka tidak ubah perjuangan baalas dendam kerana tidak mendapat tempat dalam parti siasah yang pernah didokonginya. Ingatlah selagi kita hidup, kita bermasyarakat.
Melalui kemasyarakatan itulah kita bermuafakat dan berpersatuan. Melalui persatuan kita melantik pemimpin, dan kita mestilah menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh pemimpin, kerana pemimpin itu adalah nakhoda dan bukannya seperti pendapat Mursyidul Am PAS. Dia merupakan nakhoda, tetapi yang jelas Presiden PAS telah membuat keputusan memilih Datuk Seri Nizar. Kerana itu akhirnya dia akur dan mengakui pendapatnya adalah kerana Nizar calon yang sesuai.


Saya teringat kepada cerita kecil dari dunia perguruan. Setiap tahun ramai calon guru memohon supaya ditempatkan di kampong masing-masing. Ada pelbagai alasan, termasuk emaknya yang sudah tua. Maka saya pun berfikir, apakah jika dia kembali bertugas di kampong halamannya, maka emaknya yang sudah tua itu akan diperhatikan sepanjang masa?Yang aneh lagi, bila mendapat tawaran belajar di luar negara, masing-masing pergi tanpa banyak alasan.

Tetapi bila tamat, ditempatkan di kawasan luar Bandar, mula membuat alasan, jauh daripada keluarga dan sebagainya. Semasa di luar Negara, tidak pernah membuat alasan jauh daripada keluarga. Alasan tetap alasan, kerana itulah namanya manusia. Selagi kehendaknya tidak terbatas tidak dipenuhi selagi itulah dia akan mencari jalan mewajarkan tindakannya.

Friday, March 6, 2009

LUPA DIRI, ANARKI DAN MONOLOG DI KEBUN PISANG

Lama juga minda petani tidak menulis. Bukan kerana sibuk dengan hasil-hasil kebun, tetapi kerana memikirkan beberapa perlakuan meluat sesetengah ahli politik. Ada yang bertempik ke sana, ada pula yang bertempik ke sini kononnya tindakan dialah yang paling betul.

Di tengah asyik berkeriau sana sini, Minda Petani masih teringat dengan beberapa perkembangan melampau politik negara setelah Paduk Sultan Perak tidak lagi memperkenankan pentadbiran Kerajaan Campuran Parti-parti Pembangkang yang memerintah Perak. Minda Petani teringat bagaimana cerita-cerita klasik yang dibina dan diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi berhubung dengan sistem berkerajaan.

Sistem berkerajaan Melayu diasaskan berdasarkan konsep Raja. Maka sistem beraja yang mula diperkenalkan sekian lama menjadi komponen penting walaupun dalam masa Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda, Siam dan Inggeris. Fungsi Raja tidak diketepikan kerana hubung kait dan keakraban orang Melayu dengan raja tidak dapat dipisahkan. Jika dicuba, akan memberontaklah orang Melayu.

Sebelum Melaka diasaskan oleh Parameswara, kerajaan-kerajaan tua telah pun mengamalkan sistem beraja. Kerajaan Kedah tua, yang dianggarkan berlangsung pada kurun ke-5 mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Melalui Hikayat Merong Mahawangsa, kita dipaparkan bagaimana rapatnya rakyat dengan raja. Raja menentukan setiap aspek kehidupan, termasuk pentadbiran negara dan sebagainya.

Setelah Melaka di buka oleh Parameswara, kita digambarkan bagaimana pengembaraan beliau dari Palembang sampai ke Melaka pada tahun 1403. Sesampainya di Melaka, Parameswara dikhabarkan berteduh di bawah sepohon kayu yang rending, dan dari situlah satu persetujuan dibuat bagi menamakan negeri Melaka. Itu ketika Melaka masih belum lagi mempunyai sistem pentadbiran yang lengkap.

Setelah berusaha membangunkan Melaka, Parameswara telah meletakkan asas yang kuat sebagai cirri-ciri sebuah kerajaan moden. Antaranya ialah kedaulatan, sistem bekerajaan, pentadbiran, undang-undang, lambing, rakyat dan kewilayahan. Bagi mementukan suasana aman dan teratur, Undang-undang Laut Melaka menjadi teras kegiatan hilir mudek dan berdagang di pelabuhan entrepot ketika itu.

Kedudukan Melaka ketika itu semakin maju apabila setiap orang yang berdagang dan menginap di situ memahami dan mematuhi peraturan-peraturan yang ada. Urus tadbir berjalan lancar dan Melaka muncul sebagai wilayah utama kedaulatan Melayu sehinggalah berjaya ditumbangkan oleh Portugis pada tahun 1511. Namun apa yang penting kepada kita ialah bagaimana kedaulatan, kuasa raja dan sistem pentadbiran diamalkan sehingga berjaya mencirikan pentadbiran Tanah Melayu hingga kini.

Kita mungkin teringat mengenai cerita-ceita mengenai kuasa mutlak raja pada zaman dahulu kala, tetapi ianya tidak lagi berlaku pada zaman moden. Apabila ada pihak menyamakan usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir melakukan pindaan Perlembagaan pada tahun 1994, beliau bukanlah mencabar kuasa raja. Tun dr. Mahathir membuat pindaaan bagi meletakkan raja dalam kedudukan yang tertinggi, iaitu dengan mengurangkan kuasa imuniti Raja-raja Melayu ke atas beberapa perilaku negatif.
Namun, apabila berlaku krisis perlantikan Menteri Besar di Perak, ia berlaku dalam konteks yang berlainan. Rakyat telah diajak untuk menderhaka raja melalui sembah derhaka yang dibawa oleh Dtuk Seri Nizar Jamaludin. Minda Petani menjadi semakin kacau. kerana sebelum “titah meletakkan jawatan”, Datuk Seri Nizar membuat perakuan akan memathu “apa saja keputusan Paduka Sultan Perak.”

Manusia dianggap mulia dan terpuji apabila mematuhi janjinya. Itulah pepatah Melayu mengajarkan kita, kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Ini tidak melanggar etika bermasyarakat sejak sekian lama dan amat ditunut oleh Islam. Islam mengajar kita supaya mematuhi janji, dan kerana itulah dalam iktikad kita, kita selalu memperbaharui iltizam bahawa Sesungguhnya Celakalah Bagi Orang-orang Yang Suka Berbohong.

Teringat pada sebuah dialog yang terkandung dalam Sejarah Melayu. Dailog tersebut adalah antara Deman Lebar Daun yang mewakili rakyat kebanyakan dengan Sri Tri Buana, Raja yang memerintah Bukit Seguntang Mahamiru. Sri Tri Buana bertitah” Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapak jangan derhala anak cucu hamba. Jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun.”

Balas Demang Lebar Daun “Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia, (maka) anak cucu hamba pun mengubahkan dia.”
Perjanjian ini merupakan lafaz kesetiaan rakyat terhadap raja selagi pihak raja menjaga kepentingan rakyat. Jadi, apabila paduka Sultan Perak mengambil kira sokongan rakyat melalui perwakilan ADUN berpihak kepada BN, bukan bermakna “menidakkan sokongan rakyat.”

Paduka Sultan Perak sudah memikirkan semasak-masaknya, dan keputusannya tidak memperkenankan “pembubaran DUN Perak” sebagai tepat berdasarkan kuasa budi bicara yang diperuntukkan. Kalau mungkin Paduka Sultan Perak memperkenankan “pembubaran DUN”, adakah ia tepat untuk mengembalikan kepada rakyat bagi menentukan siapa Menteri Besar selepas Datuk seri Nizar?

Jawabnya mungkin tidak. Sistem yang diterima dan digunapakai tidak memlih Menteri Besar atau Ketua Menteri. Rakyat hanya memilih wakil rakyat, yang akan mentadbir sesebuah kerajaan. Daripada persetujuan wakil rakyat daripada parti yang memenangi mojriti itulah yang akan dilantik sebagai Menteri Besar. Jadi dalam hal politik Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar bukanlah merupakan wakil rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti parti yang diwakilinya.

Datuk Seri Nizar mewakili parti PAS, yang hanya memenangi dua kerusi dalam DUN Perak. Jadi, dari segi parti Nizar bukanlah pembawa bendera kuasa majority PAS di Perak. Pada ketika itu, parti yang menguasai DUN ialah UMNO dan DAP. UMNO menang 17 kerusi dan DAP 17 kerusi. Nizar hanyalah menumpang DAP dan mendapat jawatan Menteri Besar kerana Undang-undang Tubuh Perak meletakkan syarat seseorang yang boleh menjadi Menteri Besar ialah beketurunan Melayu dan beragama Islam. Mahu tak mahu kumpulan partii-parti pembangkang terpaksa mengadakan pakatan sebagai kerajaan campuran.

Apabila dilantik, Nizar seakan-akan lupa bahawa kekuatannya adalah kekuatan DAP. Dan, kerana itulah apabila berlakunya krisis, pemimpin DAP paling lantang. Penyokong PAS hanyalah berarak dan cuba menghalang kenderaan di raja. Suara pemimpin PAS kurang lantang, kecuali komen-komen biasa berpusing mengenai demokrasi. Pemimpin PAS sedar partinya tidak berpengaruh di Perak, yang ada hanyalah semangat.

PAS hanya menyifatkan tindakan “melucutkan jawatan Menteri Besar” sebagai “tdak adil”. Hanya Karpal Singh berusaha untuk menyaman Paduka Sultan Perak, tetapi hingga masih belum dibuat. Nizar hanya mampu menyaman kerajaan baru pimpinan BN. Kenapa, kerana PAS faham jika ia menyaman kuasa Paduka Sultan Perak, ia bakal memudaratkan pengaruh PAS. Karpal Singh juga tidak mampu, kerana itu tidak menyaman.

PKR juga berselindung. Tidak terang-terangan mengeluarkan kenyataan. Yang ada hanyalah menggunakan Nizar sebagai ayam laga untuk memulakan saman. Tetapi, nampaknya Sivakumar terus melakukan kesilapan, apabila tidak mengendahkan keputusan undang-undang tidak membernarkannya meneruskan siding tergempar di bawah pokok. Kalau zaman Parameswara pertama kali sampai ke Melaka dan beremsyuarat untuk memberikan nama kepada negeri tersebut, ramai rakyat faham. Ketika itu masih belum terbentuk sistem pentadbiran moden, dan undang-undang masih belum jelas.

Nampaknya, Sivakumar cuba mentafsirkan undang-undang berdasarkan kefahaman dan faedah dirinya sendiri. Peruntukan undang-undang yang tidak bersesuaian dengan diri dan motif politiknya, diketepikan. Sivakumar bermain dengan perasaannya sendiri. Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapak. Biarlah, alang-alang celup pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Imejnya akan menjadi semakin busuk kerana air dalam tempayan pekasam sudah lama dilarutkan dengan garam.

Sivakumar sudah melakukan kesilapan apabila bergas akan mengadakan Sidang Tergempar walaupun tidak mendapat perkenan Paduka Sultan, menggantung Menteri Besar dan enam exco baru pimpinan Datuk Dr. Zanbry, memecat setiausaha Dewan, dan entah apa lagi akan dilakukan kita semakin meluat menonton gelagatnya. Akhirnya mungkinkan Sivakumar aka terjun dengan labu-labunya. Wallahuaklam. Saya terus berfikir sendirian di kebun pisang.-minda petani